ISTERI BEKERJA ITU MEMBAZIR ATAU MEMBANTU?


IBU BEKERJA ITU MEMBAZIR ATAU MEMBANTU?

79% ibu yang bekerjaya membelanjakan lebih 70% gaji untuk diri sendiri. Contohnya seperti beg tangan, kasut, pakaian baru, wangian, rambut dan macam-macam lagi. Pastinya kami sendiri tidak lupa membuat pengiraan tentang itu. Mari kami kongsikan pengiraan yang boleh dijimatkan jika isteri terpelajar beranak 3 anda tidak bekerja di luar.

1. Kereta / kenderaan kedua = RM600 sebulan
2. Penyenggaraan kereta = RM100 sebulan
3. Minyak, parking & tol kereta = RM 500 sebulan
4. Tusyen anak-anak / guru mengaji dll – RM400 sebulan
5. Pembantu rumah / pengasuh dll – RM900 sebulan
6. Beli makanan luar – RM600 sebulan.

JUMLAH RM 3100


Sekarang, jika seorang suri rumah mampu mendapat gaji sebesar RM4,000 sebulan sebenarnya beliau hanya menyumbangkan RM900 sahaja dalam ekonomi rumahtangga.

Nanti dulu, tak mungkin pergi kerja pakai baju sama hari-hari kan? Mesti nak beli baju kerja, kasut kerja, beg tangan kerja, telefon pintar, alat solek, data plan mobile internet, tudung ikut fesyen dan banyak lagi. Semua itu bila dihitungkan tak berbaloi langsung. Suri rumahpun melaram juga sekali sekala, tetapi taklah perlu sampai setiap hari baju berlainan. Asalkan bersih dan tak comot sudah cukup gembirakan suamipun.

Jengah-jengah sedikit luar tingkap pejabat, nun di tengah Kuala Lumpur ada sebuah kawasan di panggil Bukit Bintang. Isi dalamnya kebanyakan barang-barang wanita. Prada, LV, Ferragamo, Birkin, Burberry, Jimmy Choo dan banyak lagi. Semua itu adalah sasaran kad-kad kredit wanita bekerjaya tadi. Untuk golongan pertengahan pun sama sahaja, jika pergi ke Parkson dan Jusco, anda lihat bahagian lelaki cuma satu sudut sahaja tetapi bahagian wanita sahaja sampai 2 tingkat.

APAPUN TAK SEMUA YANG MACAM ITU, tetapi kami sekadar berikan contoh. Bagi yang tak begitu, sila buat perkiraan sendiri untuk lihat adakah benar-benar anda telah menyumbang kepada ekonomi keluarga atau hanya untuk diri sendiri? Anda semua mungkin tidak, tetapi berdasarkan kajian kami sendiri dari kes-kes yang merujuk kepada kami, kami tahu gambaran makro kisah ini.

Kami tak tahu anda bagaimana, tetapi ini adalah perkiraan yang kami buat di kalangan warga kami sendiri yang telah dan bakal menjadi suri rumah sepenuh masa. Bukan kecil anak juga gajinya, ada yang meninggalkan gaji sehingga RM5-6 ribu sebulan sedangkan suaminya hanya berpendapatan separuh dari itu. Itupun mereka ralat kerana sepatutnya mereka sudah lakukannya awal dahulu lagi. Sekali lagi, kami tak bercakap tentang orang lain, kami bercakap tentang apa yang telah kami lakukan dan kami dapat lihat hasil pengorbanan itu sehingga artikel semalam tentang "Berhala Anak" ditulis oleh anak kami berusia 12 tahun. Beliau bukan genius tetapi beliau hanya salah seorang dari anak-anak kami yang mendapat sentuhan ibu-ibu kandung dan ibu-ibu angkat sepenuhmasa.

Tujuan mulanya untuk membantu mengukuhkan ekonomi rumahtangga, akhirnya menjadi bebanan pula. Ini belum lagi dengan anak-anak sendiri dididik oleh bibik-bibik yang tak tentu arah dan tak tahu asal usul mereka. Ingatlah, pembinaan anak kita berlaku HANYA sekali saja. Sekali ia terabai tak boleh kita putar semula masa. Kerugian kekal “yang ini” tiada nilai dan tebusannya.

Sehebat-hebat Saidatina Khadijah r.a. yang kekayaan perniagaannya sahaja lebih separuh harta yang ada di Kota Mekah, setelah berkahwin dengan Nabi s.a.w. terus resign jadi suri rumah sahaja. Pada pandangan awam, mereka ini macam tak berkerjaya sedangkan SURI RUMAH ITU SENDIRI SATU KERJAYA YANG SANGAT BESAR DI SISI ALLAH DAN SUAMI.

Sekarang cuba hitung-hitung pada diri sendiri. Anda keluar pagi balik malam untuk hanya penambahan beberapa RM sebulan. Kononnya untuk membantu ekonomi Sang Suami. Ada suami yang bergaji sampai RM10 Ribu tetapi masih isterinya mahu bekerja kononnya RM10 Ribu itu tidak mencukupi. Percayalah, jika suami anda bergaji RM 1 Juta sekalipun jika gaya hidup anda berubah mengikut pendapatan ia tetap tidak mencukupi. Gaya hidup itu adalah AGAMA, terbaik ialah cara hidup Islam.

Antara tanggungjawab besar seorang isteri ialah redha dan menerima apa sahaja yang suami mampu. Jika pendapatan suami hanya RM1 Ribu, janganlah ubah cara hidup nak ikut kawan-kawan yang suaminya bergaji RM10 Ribu. Itu yang jadi tak cukup.

Itu juga perangai tipikal wanita sepanjang zaman. Pantang jiran sebelah beli sofa baru, kita pun nak sofa baru juga. Pantang jiran beli kereta baru dia pun nak juga. Sang Suami pula kena pacu segala macam cara agar permintaan isteri itu mampu dipenuhi. Jika tak mampu juga, nanti Si Isteri minta izin nak bekerja untuk bantu penuhi GAYA HIDUP dan bukannya keperluan.

Lagi mengharukan, jika isteri yang meminta melebihi kemampuan suaminya memberi tekanan kepada suaminya sehingga suaminya terpaksa memesong diri berkhianat dalam tempat kerja, mencuri, berasuah dan membuat kerja-kerja haram semata-mata untuk memuaskan hati isteri.

BERKAT bermakna mencukupi. Mengapa rezeki tidak berkat.? Masih ingat Ramadhan al-Mubarak? Di sini, kami didik isteri-isteri kami untuk tidak meminta-minta dan PUASAkan kehendak mereka.


PERUBAHAN GAYA HIDUP MERAWAT INFLASI

Pengurangan segala perbelanjaan tambahan untuk isteri yang berkerja tu akan mengurangkan permintaan. Ini akan MENURUNKAN HARGA PASARAN. Yang merungut nak bayar hutang kerana ada dua tiga buah kereta dah tak perlu lagi. Anak boleh naik bas sekolah atau suami naik motor atau komuter. Atau isteri di rumah pakai kereta hantar suami ke stesyen dan anak sekolah. Belanja kurang, harga turun dan hubungan keluarga makin rapat dan mesra.

BAGI MEMENUHI FARDHU KIFAYAH, tidak semua isteri boleh melepaskan kerjaya kerana negara dan umat pun perlukan mereka juga. Tapi bila ramai yang sudah berhenti, kerjaya di rumah boleh jadi ganti. Bila isteri ramai di rumah, kejiranan pun jadi meriah. Anak boleh titip dengan jiran sahaja. Tidaklah lagi taska membuak-buak sampai anak tidak terurus. Silap silap basuh dan gosok kain baju dan makan tengahari pun boleh upah pada jiran. Kos ibu yang berkerja juga jadi murah meriah. Tidak gitu?

Kami tidak menolak kerjaya-kerjaya yang memerlukan penglibatan wanita. Jika mak bidan pun beri pada lelaki, kamipun tak mahu isteri bersalin pula nanti. Jangan jumud dalam hal itu. Salah seorang jurutera senjata peperangan Sultan Mehmet Alfateh juga adalah seorang wanita.


GODAAN & FITNAH ISTERI BEKERJA

Ramai kalangan kita membaca Quran dan hadis untuk mencari alasan menolak perlaksanaannya. Kami terbalikkan prinsip itu. Semua firman Allah dan sabda Nabi s.a.w kami cari rasional perlaksanaannya. Kami anggap SEMUA AYAT dan HADIS adalah PERINTAH, bukan cerita kosong. Jika Sabda baginda bahawa tanda akhir zaman ialah ramainya wanita berkerjaya, jika Allah kata isteri harus dirumah mengurus rumahtangga, SIAPA KITA untuk menafikannya.? Bukankah kita ini hamba yang mengikut perintah?

Percampuran Lelaki dan wanita itu ada caj –ve dan +ve, ibarat minyak dan api. Jangan didekatkan langsung nanti menyambar dan terbakar. Untuk elakkan kebakaran berlaku, JAUHKANLAH api dengan bahan bakar itu tadi.

Semasa dalam ruang kerja, pasti ada pelbagai godaan. Tidak kira lelaki mahupun perempuan, anak dara ataupun bini orang semua tak terlepas dari fitnah dan gejala. Apatahlagi kerjaya yang memang mencampur gaul wanita dan lelaki, bahkan memerlukan kita gedik dan seksi. Kalau tidak tak lah kita baca penceraian artis saban hari.

Isu dalam dada akhbar, statistik dari mahkamah dan Kebajikan Masyarakat sahaja sudah cukup menjadi bukti perceraian yang banyak berlaku disebabkan oleh “AFFAIR TEMPAT KERJA”. Antara yang pernah singgah dalam pengetahuan kami apabila ada isteri (suami juga tak terkecuali) yang berfikiran dalam tempoh 8am-5pm mereka BUKAN ISTERI dan mereka bebas melakukan apa sahaja. Di rumah, baru mereka akan kembali sebagai suami atau isteri.

Walaupun anda tidak begitu, tapi banyak kes telah berlaku. Bayangkanlah isu berapi begini terjadi di sana dan sini. SUAMI pula menggatal dengan orang lain dek kerana layanan isteri dah jadi hambar di rumah lantaran kepenatan bekerja siang hari. Kadangkala balik ke rumah seperti orang bujang, semuanya hanya layan diri sendiri sahaja. Di mana syurga rumahtangga? Mana bidadarinya? Hujung-hujung, pembantu rumah yang tak ada rupa sangatpun, yang tiada pelajaran sangatpun jika menggedik lebih kurang atau terbuat konon-konon keluar bilik air bertuala tanggung habis dilayan Sang Suami yang gersangkan layanan isteri yang sah.

Itulah buah kerosakan akhlak anak-anak generasi penerus yang bakal hidup dalam kerosakan bersama anak-anak anda yang tak rosak itu. Akhirnya, anak yang tak rosak juga akan rosak. Berkubang dalam kolam lumpur yang sama, mustahil terpalit sedikitpun tidak.

Sekali lagi, tak semua begitu atau kebanyakannya baik-baik belaka. Cuma kami suka menjadi sedikit paranoid kepada sesuatu kebejatan yang fatal. Baik kami sampaikan berita terburuk untuk kita ingat berbanding kami hanya sentuh berita kurang serius dan anda sidang pembaca merasakan ianya tidaklah serius sangat. `Work for the best, Prepare for the worse’.

Comments

Popular posts from this blog

Kenapa Perlu Detox?

SHAKLEE SENTIASA BERKESAN